Mahfuz memohon maaf kerana menipu?

Petikan dari blog Depa kata :

28 July 2008

SURAT MAHFUZ KEPADA AHLI DAN PENYOKONG PAS

Kepada,

Semua ahli, penyokong dan pengundi PAS.

Pertamanya marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS si atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas ketelanjuran ini.

Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat pribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian. Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS. Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.

Saya berharap individu terbabit dapat tampil kehadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh Presiden Umno baru-baru ini. Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka. Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS. Lebih memeranjatkan lagi apabila ‘muzakarah’ tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh Presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN. Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti.

Apabila bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama 4 hari berturut-turut selepas pilihan raya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti. Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu. Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku. Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara Perdana Menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya.

Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut. Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti. Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas ’pembohongan’ ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat. Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor Universiti Tempatan yang telah mengingatkan bahawa ”jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita”. Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia. Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada. Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang.

Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku. Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.

Maafkanlah saya.

Sekian, wassalam.

Hj Mahfuz Hj Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat

~ by penulis blog on July 29, 2008.

One Response to “Mahfuz memohon maaf kerana menipu?”

  1. PAS memang ada buat salah dengan ahlinya, tetapi mereka tidak tahu kenapa pimpinan PAS buat rundingan secara tersembunyi.

    Adakah PAS sudah tahu kebenaran kes liwat Anwar dan ini membuatkan PAS tawar hati?

    Segala kemelut dan kekalutan politik M’sia sekarang berpunca dari Anwar. Artikel ambo :http://cekka.wordpress.com/2008/07/29/anwar-punca-keretakkan-pakatan-rakyat/

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: