Apabila N32 Roslan SMS membidas Karpal Singh !

Wednesday, April 09, 2008

Cukuplah Karpal ………….

Pengerusi DAP Karpal Singh mengeluarkan kenyataan meminta PAS agar menggugurkan perjuangannya untuk menegakkan Negara Islam. Saya boleh terima pandangan bahawa biarkan Karpal, dia bukan Islam, dia tidak faham. Yang lebih penting adalah kita menerang dan menjelaskan perkara yang sebenar. Kalau Karpal tolak Islam tak mengapa sebab dia bukan Islam.

Tetapi dalam waktu yang sama saya kira Karpal juga perlu faham, yang beliau bukan sekadar seorang rakyat Malaysia yang bukan Islam, beliau adalah seorang pemimpin, seorang ahli Parlimen dan seorang yang terpelajar.

Saya mempunyai ramai kenalan dalam DAP. Dan saya sangat rapat dan menghormati contohnya kawan baik saya YB Ng Suee Lim, ADUN Sekinchan (yang ringan mulutnya memberi salam, megucap Alhamdulillah, Insyallah), dan pandangan saya dalam kes Karpal ini, ianya bukan menyentuh parti DAP tetapi lebih kepada personaliti YB Karpal, ahli Parlimen dan seorang yang terpelajar.

Kalau kita sudah berkawan, sepatutnya masing-masing pemimpin menggalakkan persefahaman, muafakat, seru yang baik-baik. Tetapi bila kawan saya yang mahu berbaik dengan saya tak semena-mena minta supaya saya pindah rumah atas alasan rumah saya yang saya bina atas hasil titik peluh dan usaha saya itu tidak sesuai bagi saya, maka bagaimana saya mahu menganggapnya sebagai kawan.

Meminta PAS menggugurkan perjuangan Negara Islamnya bagi saya sangat keterlaluan, dan tidak sensitif serta memahami isi hati kawan. Walaupun setelah diterang dan diyakinkan oleh pimpinan PAS berkali-kali berkenaan konsep Negara Islam dan keutamaan PAS masakini, namun Karpal terus menerus memilih untuk memaksa PAS mengubah dasarnya, atas alasan ianya bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Lalu saya boleh faham apabila Ketua Pemuda Kelantan Sdr Zaki Ibrahim meminta supaya Karpal tutup mulut manakala MB Kedah Ustaz Azizan Razak pula meminta Karpal agar tidak bercakap mengenai perkara yang beliau tidak faham.

Bukan soal PAS tidak memahami kawan, bukan soal PAS tidak menghargai kawan, Pakatan Rakyat iaitu pakatan antara PAS, DAP dan PKR adalah sesuatu yang dikehendaki rakyat dan ia akan didukung dan dipertahankan. Soalnya janganlah kawan-kawan menyerang prinsip dan pegangan kawan yang lain. Tidakkah itu nanti akan mengguris perasaan dan mencetuskan ketegangan.

Ahli-ahli PAS tidak sanggup membisu jika siapa sahaja menyerang apalagi menghina asas dan dasar perjuangan mereka, tak kiralah puak itu lawan apalagi kawan.

Saya berharap sangat Karpal “cool down” dan berikan lebih keutamaan ke arah menyatupadu dan mengukuhkan Pakatan Rakyat ini disemua peringkat. Semalam Presiden PAS mengunjungi Ketua Menteri Pulau Pinang dan dalam waktu yang sama Menteri Besar Perak mengunjungi Menteri Besar Selangor, baik dan mesra sahaja nampaknya. Pasti ia menghibur hati rakyat kerana itulah yang mereka mahukan iaitu jalinan mesra antara ketiga-tiga parti.

Bila pula Karpal mahu mengunjungi Ustaz Azizan dan Tuan Guru MB Kelantan?

~ by penulis blog on April 10, 2008.

One Response to “Apabila N32 Roslan SMS membidas Karpal Singh !”

  1. KARPAL BETTER U GO BACK TO YOUR COUNTRY THE STATE OF INDIA NEW DELHI OR KERALA YOU FROM, THIS IS MALAY COUNTRY…Kinabalu.Man.

Comments are closed.

 
%d bloggers like this: